Adakah elaun gangguan ini layak diberikan kepada pegawai yang memohon untuk bertukar balik ke wilayah asalnya dan bukannya ditukarkan balik.

Soalan : Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil.4 Tahun 1988- elaun gangguan dibayar diatas kadar sebulan gaji hakiki pegawai. Kadar yang layak akan ditentukan apabila pegawai berkenaan ditukarkan balik ke wilayah asalnya. Oleh yang demikian, adakah elaun gangguan ini layak diberikan kepada pegawai yang memohon untuk bertukar balik ke wilayah asalnya dan bukannya ditukarkan balik ke wilayah asalnya?

Jawapan : Berdasarkan perenggan 7 dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 1980, pegawai-pegawai Semenanjung Malaysia yang memohon atas kehendak diri sendiri atau atas sebab-sebab peribadi atau semata-mata hendak mengikuti suami atau isteri yang telah diarah bertukar ke Sabah atau Sarawak tidak layak dibayar Elaun Penempatan Khas/Imbuhan dan juga kemudahan-kemudahan yang lain di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini. Walau bagaimanapun, mereka itu bolehlah dibayar Elaun Wilayah. Begitu juga pegawai-pegawai dari Sabah atau Sarawak yang memohon atas kehendak diri sendiri atau mengikuti suami ke Semenanjung Malaysia tidaklah layak mendapat apa-apa kemudahan di bawah Pekeliling ini. Perenggan 8 dalam pekeliling yang sama pula menetapkan Ketua-ketua Perkhidmatan/Jabatan yang mengendalikan pertukaran pegawai-pegawainya antara wilayah hendaklah mematuhi sepenuhnya peruntukan-peruntukan di dalam Pekeliling ini dan sebarang keputusan untuk menukarkan pegawai-pegawai antara wilayah hendaklah dibuat berasaskan kepada kepentingan perkhidmatan semata-mata sama ada melalui pelawaan ataupun secara arahan. Jika seseorang pegawai itu dibenarkan bertukar antara wilayah semata-mata atas sebab-sebab peribadi atau kerana mengikuti suami atau isterinya, maka hakikat ini hendaklah dinyatakan dengan jelasnya dalam surat pertukaran itu. Bagaimanapun, pekeliling ini telah dibatalkan oleh Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 1987 dan pelaksanaan Elaun Gangguan adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 1988. Berdasarkan sumber terkini yang diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, Elaun Gangguan adalah layak dibayar kepada pegawai yang bertukar balik ke wilayah asalnya tanpa mengambil kira sama ada pegawai ditukarkan atau pun memohon sendiri untuk bertukar. Sehubungan itu, bayaran elaun tersebut boleh dibuat kepada pegawai setelah semua syarat pembayaran dipatuhi sewajarnya.

ID Soalan
7MFU0S
Hits
7072