Membayar tambang gantian keseluruhannya bagi menggantikan tuntutan elaun perjalanan kenderaan (km) kepada pegawai.

Soalan : Seorang pegawai dari Putrajaya telah diarah melaksanakan tugas di Pahang pada 21 November 2015 dan Kota Bharu, Kelantan pada 23 November 2015. Tugasan ini dilaksanakan secara berterusan bermula 20 hingga 24 November 2015. Pegawai telah menggunakan kenderaan persendirian.

a) Adakah jabatan boleh membuat bayaran:-
i) Membayar tambang gantian keseluruhannya bagi menggantikan tuntutan elaun perjalanan kenderaan (km) kepada pegawai.
ii) Membayar elaun perjalanan kenderaan (km) bagi perjalanan pergi dan tambang gantian bagi perjalanan balik.
iii) Membayar elaun perjalanan kenderaan (km) keseluruhannya kepada pegawai.

b) Mohon juga pencerahan bagi maksud perjalanan sehala?

i) Putrajaya - Pahang
ii) Putrajaya - Pahang - Kota Bharu, Kelantan

Jawapan : Pekeliling Perbendaharaan WP 1.4 - Kadar Dan Syarat Tuntutan Elaun, Kemudahan Dan Bayaran Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Kerana Menjalankan Tugas Rasmi (Tidak Termasuk Tentera Dan Polis) adalah dirujuk. Berdasarkan Perenggan 5.7 dalam pekeliling ini, menjelaskan kelayakan pegawai yang menggunakan kenderaan sendiri untuk menuntut elaun perjalanan kenderaan bagi menjalankan tugas rasmi sama ada di dalam atau di luar Ibu Pejabatnya mengikut kadar ditetapkan. Perenggan 5.7.3 juga menjelaskan sekiranya lokasi pegawai bertugas boleh dihubungi terus oleh kapal terbang atau keretapi, pegawai tidak layak menuntut Elaun Perjalanan Kenderaan melainkan dengan kelulusan Ketua Jabatan. Manakala Perenggan 5.8 – Tambang Gantian menerangkan mengenai kadar dan kelayakan menuntut tambang gantian sebagaimana syarat-syarat dalam pekeliling dan Perenggan 7 - Kemudahan Perjalanan Dengan Kapal Terbang pula, menjelaskan bahawa pegawai adalah digalakkan menggunakan perkhidmatan kapal terbang untuk menjalankan tugas rasminya jika ianya adalah lebih murah dan menjimatkan masa. Sehubungan itu, dengan mengambil kira keperluan untuk melaksanakan tugas rasminya dalam tempoh 20 hingga 24 November 2015 di dua tempat di sepanjang perjalanan iaitu Pahang dan Kota Baharu, Kelantan serta memandangkan perjalanan ini menepati kriteria berdasarkan syarat yang ditetapkan di dalam para 5.7.3 (b), pada pandangan pihak audit tuntutan Elaun Perjalanan Kenderaan boleh dibayar dengan kelulusan Ketua Jabatan hendaklah dilampirkan bersama borang tuntutan pegawai. Adalah menjadi tanggungjawab Ketua Jabatan untuk menentukan tuntutan yang dikemukakan oleh seseorang pegawai itu teratur, munasabah dan berpatutan. Bagi maksud perjalanan sehala, adalah merujuk dari destinasi awal lokasi Pejabat pegawai ke Pahang seterusnya ke Kota Baharu, Kelantan.

ID Soalan
SLL7J9
Hits
4493